Ceramah Dr Zakir Naik di UTeM tidak boleh diteruskan - Khalid

Astro Awani
April 11, 2016 03:12 MYT
Zakir dijadual menyampaikan ceramah di UTeM pada 17 April. - Gambar fail
Penceramah agama dari India, Dr Zakir Naik, yang dijadualkan menyampaikan ceramah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 17 April ini dijangka terpaksa melupakan hasrat itu.
Ini berikutan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang menyatakan pihak polis merasakan majlis itu tidak boleh diteruskan demi ketenteraman awam dan sensitiviti agama di Malaysia.
Arahan itu turut disampaikan Khalid melalui akaun Twitternya:

@PDRMsia memutuskan untuk TIDAK membenarkan Forum ini diteruskan demi Ketenteraman Awam dan sensitiviti Agama diMsia pic.twitter.com/7gP7ux17mK

— Khalid Abu Bakar (@KBAB51) April 11, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dr Zakir yang memiliki penilaian kritis dalam soal perbandingan agama, dijangka menyampaikan ceramah berjudul ‘ Similarities Between Hinduism and Islam ’ (Persamaan Antara Hindu and Islam) di UteM.
Video promosi siri jelajah Dr. Zakir Naik ke Malaysia - Sumber: Saluran YouTube rasmi Dr. Zakir Naik
MESTI BACA: Dr Zakir Naik keluar kos sendiri, hanya penginapan, makan ditanggung
MESTI BACA: Dr. Zakir Naik - Tokoh Maal Hijrah 1435H peringkat antarabangsa
Terdahulu, Pemuda MIC telah membuat laporan polis di seluruh negara untuk menghalang Dr Zakir daripada menyampaikan ceramahnya di Malaysia.
Dalam kenyataan, Ketua Pemuda MIC C Sivarraajh berkata, mereka juga mempertimbang untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi tujuan itu.
“Zakir Naik terkenal dengan taktik merendah-rendahkan agama lain yang mungkin mencetus rasa kurang senang tanpa mengambil kira sensitiviti pihak lain,” ujarnya.
Pada Jumaat, Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) mendesak Putrajaya untuk mengharamkan penceramah itu daripada memasuki Malaysia bagi memulakan siri ceramah di Terengganu, dengan menggelarkannya sebagai virus kepada masyarakat berbilang kaum.
Begitupun, pada Ahad, Dr Zakir menjadi penceramah undangan di Terengganu dengan menyampaikan ceramah bertajuk ' The Importance of Unity Among Muslim Ummah ' (Pentingnya Perpaduan Dalam Kalangan Ummah Islam) selama dua jam di Stadium Tertutup Gong Badak.
Hampir 30,000 orang memenuhi bahagian dalam dan luar stadium untuk mengikuti ceramahnya yang menekankan akan pentingnya bersatu dalam mengukuhkan Islam.
#berita Zakir Naik #hindraf #HIndu dan Islam #MIC #penceramah #Zakir Naik