Cerita Das Abdul cipta empayar 'bantal' tersendiri

Fareez Azman
Oktober 25, 2019 00:14 MYT
Das dan Sapinah ketika menerima Anugerah Superbrands 2019 malam tadi. Astro AWANI
Pernahkah anda melihat papan iklan Das Abdul dengan temanya ''Ingat Das Abdul, Ingat bantal hotel 7 bintang"?
Siapa sangka, seorang jurutera yang pernah melalui kehidupan yang penuh berliku ini akhirnya bergelar jutawan.
Semuanya bermula pada 2016, selepas Das dan isterinya Sapinah Muhamad, masing masing berusia 31 tahun ketika itu, mengalami kesempitan hidup akibat kehilangan pekerjaan.
Das kemudiannya tekad untuk berpindah dari Tanah Merah, Kelantan ke Parit Raja, Johor bagi mengubah nasib keluarganya, berbekalkan ilmu serta teknik perniagaan yang ditimbanya menerusi salah satu seminar perniagaan.
Idea menjual bantal tercetus secara spontan.
"Pengalaman memang susah nak diceritakan. Tetapi, zaman 2016, saya tersepit, dengan isteri saya, dan anak yang ketika itu baru berumur 41 hari.
"Kita tidak bekerja dan tiada ada pendapatan. Jadi, ilham saya dengan isteri pada ketika itu, mengikut apa yang mentor saya Dr Azizan Osman kata, guna apa yang ada di tangan.
"Pada malam itu, ada bantal di tangan saya. (Saya kata) Apa kata kita cuba jual bantal ini, atas niat nak bantu orang?" katanya.
BACA: 28 jenama tempatan terima Anugerah Superbrands Malaysia 2019
Bermula kecil-kecilan dengan menjual bantal buatannya sendiri secara jualan dari but kereta, kini bantal Das Abdul mendapat permintaan tinggi dari pengguna.
Setakat ini, sebanyak 1 juta unit telah terjual di Malaysia, Brunei dan Singapura.
"Waktu mula-mula dulu, saya jual bantal di car boot sale, (laku) 20 biji, di Parit Raja, Johor. Alhamdulilah selepas itu saya dapat guru yang bagus, dia bagi ilmu, teknik untuk kita berkembang.
"Daripada 20 (biji bantal) naik ke 500,000 dan sekarang, kita dapat jual purata 30,000 hingga 40,000 sebulan," katanya.
VIDEO: Malaysia tangga ke-12 dalam kemudahan menjalankan perniagaan
Hanya dalam tempoh tiga tahun, Das Abdul kini mempunyai lebih 2000 agen seluruh negara.
Malah, bagi mengembangkan lagi pasaran produknya, lebih 13 jenis bantal Das Abdul kini turut dipasarkan.
Lebih membanggakan, penat lelah Das terjawab apabila dipilih sebagai salah satu pemenang Anugerah Superbrands Malaysia 2019.
#bantal #bantal hotel #Brunei #car boot sale #Das Abdul #kesempitan hidup #Malaysia #pengarah urusan #pengasas #pengiktirafan #Singapura #Superbrands Award #usahawan