Bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy hari ini telah dibebaskan daripada tiga pertuduhan menipu dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), 4 tahun lalu.

Mahkamah Tinggi membebaskan Chan selepas pihak pendakwaraya menarik balik pertuduhan ke atas beliau setelah meneliti surat daripada pihak pembela.

Menurut laporan, tuduhan tersebut ditarik balik oleh pendakwaraya selepas mempertimbangkan bukti daripada peguam Chan.

Keputusan untuk menarik balik tuduhan telah dikemukakan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani Abdul Rahman di mahkamah.

Pada 28 Februari 2011, Chan telah menghadapi tiga tuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna bagi bagi pojek bernilai RM1.9 bilion di Zon Bebas Pulau Indah serta kerja-kerja pengubahsuaian di PKFZ antara tahun 2004 hingga 2006.

Beliau didakwa menyembunyikan hakikat bahawa projek tersebut dibiayai oleh KDSB melalui Transhipment Megahub Berhad yang disokong oleh beliau sendiri yang pada ketika itu masih Menteri Pengangkutan.

Tuduhan tersebut jika disabitkan kesalahan, boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Pada 25 Oktober 2013 pula, seorang lagi bekas Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik juga telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar berjumlah RM1.08 bilion bagi projek PKFZ.

Keputusan itu dibuat setelah peguam Ling berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan utama dan dua pertuduhan pilihan yang dihadapinya.