KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago diperintahkan untuk memohon maaf kepada penceramah dari India, Zakir Naik di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, berhubung satu kenyataan fitnah, empat tahun lalu.

Ia selepas Hakim, Datuk Akhtar Tahir mendapati kenyataan Charles selaku defendan dalam ceramah bertajuk ‘Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE)’ pada 25 November 2019, telah memfitnah Zakir.

Bagaimanapun, Akhtar berkata, perkara itu tidak mencemarkan imej dan reputasi Zakir selaku plaintif sebaliknya meningkatkan reputasinya sebagai seorang penceramah agama yang berpengaruh di negara ini.

“Oleh itu, mahkamah memutuskan bahawa plaintif tidak berhak mendapat sebarang ganti rugi tetapi memandangkan kenyataan itu adalah fitnah, saya mengarahkan defendan untuk memohon maaf secara terbuka,” katanya.

Selepas membaca keputusan penghakiman tersebut, Charles dan Zakir yang duduk di galeri awam, diminta masuk ke mahkamah dan berdiri di hadapan hakim itu.

Charles: Saya mohon maaf atas kenyataan berkenaan.

Zakir: Ya, saya terima.

Kenyataan fitnah itu diterbitkan sebuah portal bertajuk ‘Critcism of Zakir Naik may have led to LTTE arrest says MP’, dipetik daripada kenyataan defendan mengenai penahanan dua ahli DAP pada 10 Oktober 2020 menjelang Belanjawan, yang dibentangkan di Parlimen.

Hakim itu berkata, Charles mencadangkan bahawa penahanan itu mungkin sebagai tindak balas terhadap kritikan dan laporan polis yang dibuat terhadap Zakir dan ia adalah satu amaran kepada masyarakat India.

Katanya, selain daripada hanya menafikan membuat kenyataan itu, mahkamah menyatakan defendan gagal secara efektif dalam mencabar apa yang dinyatakan dalam artikel berkenaan.

Oleh itu mahkamah membuat kesimpulan bahawa kenyataan itu sememangnya dibuat oleh defendan.

“Walaupun hujahan defendan bahawa ia tidak ditujukan kepada plaintif, namun ia ibarat ‘serampang dua mata iaitu pertama ditujukan kepada pihak polis dan kerajaan sementara kedua, mengarah kepada plaintif.

“Implikasi daripada kenyataan terhadap plaintif itu ialah, beliau mempunyai pengaruh terhadap polis dan kerajaan dalam penahanan dua ahli DAP berkenaan.

“Walaupun kenyataan itu adalah ungkapan pendapat defendan, namun ia bersifat spekulatif dan belum disahkan dengan keterangan untuk membuktikan kesahihannya, maka mahkamah memutuskan bahawa kenyataan itu telah memfitnah plaintif,” katanya.

Sementara itu, Zakir turut menyaman Charles berhubung kenyataan media pada 13 Ogos 2019 bertajuk `Wednesday Cabinet meeting Must Discuss Zakir Naik's meddling into Politics' sebagai maklum balas kepada kepada ceramah Zakir di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos 2019.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan Charles, ceramah itu berpotensi membangkitkan rusuhan kaum dan kekacauan kerana mempertikai kesetiaan masyarakat India di negara ini.

Dalam prosiding keputusan kes, Akhtar berpendapat, topik yang ditimbulkan dalam ceramah di negeri itu tidak sesuai bagi konteks rakyat Malaysia kerana isu salah faham berhubung Islam oleh bukan Muslim, tidak pernah dibangkitkan.

Hakim ini berkata, mahkamah berpendapat isu tersebut tidak sesuai diperdebatkan di negara ini.

“Meskipun wujud isu salah faham, topik itu wajar dibangkitkan dalam kalangan masyarakat bukan Islam, walhal di Kelantan sebahagian besar yang hadir pada ceramah itu adalah muslim.

“Mahkamah bersetuju dengan defendan bahawa ceramah itu boleh membangkitkan sentimen keagamaan dan mewujudkan suasana tegang dalam kalangan pelbagai penganut agama di Malaysia,” katanya.

Susulan itu mahkamah bersetuju dengan kenyataan Charles berhubung ucapan Zakir, bahawa ia boleh menimbulkan ancaman kepada masyarakat berbilang kaum.

Mahkamah berpendapat, kenyataan Charles ini, tidak berunsur fitnah dan dibuat berdasarkan komen yang adil. - Sinar Harian.