KUALA LUMPUR: Batik Air Malaysia akan mengurangkan sehingga 35 peratus jadual penerbangannya bagi separuh pertama April berikutan peningkatan mendadak kos bahan api yang didorong oleh ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Dalam memo dalaman bertarikh 1 April, syarikat memaklumkan bahawa langkah ini diambil sebagai pendekatan berjaga-jaga untuk melindungi kedudukan kewangan ketika harga bahan api jet berada pada paras tertinggi.
Advertisement
Sebagai sebahagian daripada usaha pengurusan kos, Batik Air Malaysia turut menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada kira-kira 3,500 kakitangannya dan permohonan dibuka sehingga 3 April, dengan tempoh cuti bermula 6 April.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Chandran Rama Muthy, mengesahkan bahawa situasi semasa menunjukkan bekalan bahan api global semakin terhad dan dijangka hanya mencukupi untuk beberapa bulan akan datang.
"Syarikat perlu mengambil langkah proaktif dalam mengurus operasi bagi mengurangkan risiko kewangan dan memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.
“Jika operasi diteruskan tanpa pelarasan, ia boleh meningkatkan risiko kewangan dan operasi, serta memberi kesan kepada kestabilan keseluruhan industri penerbangan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan ini bukan mudah, namun perlu dalam situasi yang mencabar dan tidak menentu ketika ini.
Langkah tersebut juga selari dengan kebimbangan yang dibangkitkan pihak industri mengenai kekangan bekalan bahan api.
Batik Air Malaysia berharap para penumpang memahami situasi ini dan terus memberikan sokongan, sambil syarikat berusaha mengekalkan operasi yang stabil, selamat dan boleh dipercayai sepanjang tempoh ini.