Chevron Malaysia Ltd bersama-sama Yayasan MyKasih sedang giat mengembangkan pembelajaran matapelajaran sains, teknologi, bahasa inggeris dan matematik (STEM) kepada pelajar dan guru di Terengganu. Program yang dinamakan Caltex Fuel Your School ini ini turut disokong oleh Kementerian Pendidikan, di mana sepanjang bulan Ogos lalu Caltex telah menyumbang sebanyak RM1 untuk setiap pembelian RM40 (atau lebih) di mana-mana stesen petrolnya di Terengganu.

Sebelum itu, penyertaan dibuat oleh para pendidik menerusi Facebook yang mengutarakan keperluan masing-masing untuk pembelajaran subjek-subjek STEM. Seterusnya, pilihan terakhir telah dibuat oleh para pembaca di laman Facebook tersebut. Setiap projek kelas berhak mendapat sehingga RM5,000; antara permintaan yang diterima adalah untuk komputer riba, projektor, kamus, papan putih interaktif dan peralatan makmal.

Maklumbalas yang diterima daripada guru dan pelajar yang terlibat amatlah positif. Antara lain, Caltex Fuel Your School telah membolehkan pihak sekolah untuk menjalankan projek yang menggalakkan pembelajaran sains, teknologi, bahasa inggeris dan matematik dengan cara yang lebih menyeronokkan dan kreatif.

Seperti kata Marina Hamat (gambar atas), guru di SMK Kompleks Gong Badak, “Bahan-bahan untuk projek kelas saya iaitu ‘Saya dengar, Saya Lihat, Saya Kuasai’ memberi motivasi kepada pelajar yang cemerlang di dalam subjek matematik untuk membantu rakan mereka yang kurang mahir. Ini bukan sahaja membantu pihak pelajar, tetapi meringankan beban para guru.”

Di samping itu, program seperti Caltex Fuel Your School juga membolehkan guru untuk mendapat bahan-bahan yang mungkin tiada kerana sumber kewangan yang terhad, menurut kata Rozailani Iberahim (gambar bawah) dari SMK Tuk Dur.

Di samping itu, usaha mengumpul derma kempen ini juga akan memberi manfaat kepada 50 pelajar sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Padang Air di Kuala Terengganu menerusi program dermasiswa ‘Love My School’ oleh MyKasih. Mengikut Jeffrey Perera, pengarah urusan MyKasih, “Pelajar-pelajar yang datang daripada rumahtangga berpendapatan rendah ini, masing-masing akan mendapat RM720 setiap tahun menerusi kad pintar MyKasih mereka. Jumlah ini boleh dibelanjakan di kantin sekolah, ataupun untuk membeli buku dan alat tulis di kedai buku sekolah.”