TURKI ialah negara pertama mempunyai kapal pengangkut yang beroperasi dengan armada dronnya yang tersendiri selepas TCG Anadolu dilancarkan pada tahun 2023.

Tetapi ia hanyalah sebuah kapal pengangkut helikopter yang diubah suai selepas pembelian Lockheed Martin F-35 dibatalkan kerana negara ini membeli sistem roket daripada Rusia.

Rekod negara pertama yang mempunyai kapal yang direka khusus untuk dron dipegang oleh China.

Menurut laporan Naval News, kapal ini dilancarkan secara rahsia pada tahun 2022 dengan ia lebih pendek dan tidak selebar kapal pengangkut Fujian yang dilancarkan pada tahun yang sama. 

Dari segi saiz ia berpadanan dengan saiz kapal pengiring pengangkut pesawat dari Perang Dunia Kedua.

Tiada sistem CATOBAR dapat dilihat dengan dek hanya mempunyai landasan lurus. Sistem lif juga tidak dapat dilihat menerusi gambar satelit yang diambil.

Kerana saiz dron yang jauh lebih kecil, saiz kapal pengangkut ini lebih kecil berbanding TC Anadolu dan JS Kaga milik Jepun.

Penggunaan dron di medan perang sudah tidak dapat dielakkan lagi dengan ramalan ia akan menggantikan pesawat dengan juruterbang manusia.

Amerika mempunyai Program Replicator yang terdiri daripada ribuan pesawat dron yang boleh diarahkan menyerang secara berkumpulan dan juga Manta Ray yang beroperasi bawah laut. Australia pula dengan Ghost Shark dan Loyal Wingman.

Hakikatnya dron lebih murah dan sukar dikesan membolehkan serangan dilakukan tanpa mengorbankan nyawa juruterbang manusia.

Dua konflik terbesar abad ke-21 menunjukkan betapa berkesannya dron dalam memusnahkan sistem senjata konvensional sehingga memaksa sistem penangkis seperti Leonidas dibangunkan dengan pantas. - Amanz