Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong dinasihat mengadakan perjumpaan tertutup bersama Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria seandainya terus mempertikaikan keputusan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Christoper juga sekali gus disifatkan sudah tersasar dari etika guaman selain tindakannya itu turut dipertikai.

"Kami persoalkan apa motif Christoper mengeluarkan kenyataan itu jika dia benar-benar ikhlas hendak menegur badan kehakiman.

"Jika hendak tegur di atas alasan profesionalisme, buatlah janji tertutup dengan Ketua Hakim Negara dan nyatakan rasa tidak puas hati namun bukan sidang media yang akhirnya menjadi spekulasi serta skandal umum," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Sebelum ini, Christopher dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar 'dianiaya, bukan didakwa' apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Terdahulu, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman meminta lebih 100 peguam mendesak Christopher supaya menarik balik kenyataannya berhubung sabitan hukuman ke atas Anwar dalam kes liwat baru-baru ini.

Kumpulan itu turut memberi amaran, seandainya Christopher gagal menarik balik kenyataan itu dalam tempoh 14 hari, mereka akan mengambil langkah perlu untuk menggesanya berundur daripada jawatan Presiden Majlis Peguam dan meminta Peguam Negara agar mengambil prosiding menghina yang sewajarnya.

Kata Mohd Khairul Azam, usul itu akan dibawa pada mesyuarat agung tahunan (AGM) selepas memastikan bilangan peguam yang menandatangani usul berkenaan mencukupi.

Selain itu katanya, kumpulan itu akan membawa mesej apa juga kenyataan Christoper tidak semestinya diturut dan dipersetujui semua peguam.

"Kenyataan Christoper tidak mewakili semua peguam, Majlis Peguam juga seharusnya menjunjung etika guaman dan harus menghormati keputusan mahkamah," jelasnya.

Pada 10 Februari, Anwar gagal dalam rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh