Skip to main content

Malaysia

KKM sasar lebih 500,000 rakyat manfaat perkhidmatan hab kesejahteraan tahun ini

[TB]_Hab Kesejahteraan KKM_KKM
Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, seramai 335,930 klien telah hadir ke Hab Kesejahteraan di seluruh negara. - Gambar KKM
Advertisement

LANGKAWI: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan lebih 500,000 rakyat mendapat manfaat daripada perkhidmatan 38 Hab Kesejahteraan di seluruh negara sepanjang tahun ini bagi memperkukuh usaha pencegahan penyakit dan amalan gaya hidup sihat.

Kenyataan KKM hari ini memaklumkan sasaran itu sejajar dengan komitmen kementerian untuk menjadikan pencegahan penyakit sebagai pelaburan strategik dalam kesihatan negara menerusi intervensi promosi kesihatan dan pencegahan faktor risiko.

KKM memaklumkan bahawa pendekatan yang berteraskan Behavioural Insights (BI) dan pemerkasaan literasi kesihatan itu telah membantu rakyat mengubah tingkah laku ke arah gaya hidup lebih sihat melalui intervensi secara bersasar.

“Keberkesanan perkhidmatan ini terbukti melalui data tahun 2020 hingga 2025, merekodkan seramai 1,660,488 klien telah menerima manfaat daripada pelbagai pakej perkhidmatan yang disediakan di Hab Kesejahteraan.

“Daripada 15,027 klien yang menyertai intervensi pengurusan berat badan selama enam bulan, seramai 11,282 orang atau 75 peratus berjaya menurunkan berat badan manakala 11,455 orang atau 76 peratus berjaya meningkatkan tahap kecergasan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, seramai 335,930 klien telah hadir ke Hab Kesejahteraan di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, KKM juga sedang menilai pelaksanaan waktu operasi Hab Kesejahteraan yang lebih fleksibel termasuk selepas waktu pejabat dan pada hujung minggu bagi memenuhi permintaan rakyat.

Terdahulu, KKM turut melancarkan Aplikasi MyLLSNet Bagi “1,000 Hari Pertama Kehidupan: Kajian Longitudinal di Langkawi (LLS)” yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

LLS ialah kajian kohot kelahiran berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Institut Kesihatan Umum dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi dan Hospital Sultanah Maliha.

Kajian strategik ini bertujuan mengenal pasti faktor kritis yang mempengaruhi tumbesaran kanak-kanak dalam 1,000 hari pertama kehidupan, iaitu bermula dari tempoh awal kehamilan hingga mereka berumur dua tahun.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement