KUALA LUMPUR:Guru Adiwira, Samuel Isaiah, tersenarai dalam 10 finalis terbaik bagi menerima anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Beliau yang sebelum ini tular kerana kegigihannya membawa perubahan dalam pengajaran Bahasa Inggeris kepada murid Orang Asli di sekolahnya di Pahang, turut tersenarai bersama sembilan lagi guru dari seluruh dunia.

Samuel, lebih mesra dipanggil Cikgu Sam, berpeluang merebut hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4.3 juta) dalam anugerah anjuran Yayasan Varkey yang berpangkalan di Dubai itu.

Cikgu Sam pernah tular kerana memperkenalkan ‘sekolah pokok’ dan pembelajaran menggunakan ukulele dalam kalangan muridnya yang berketurunan suku Jakun di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Muadzam Shah.


Keberkesanan idea dan kreativitinya membentuk ruang pembelajaran yang lebih menyeronokkan berjaya menarik kehadiran yang tinggi dalam kalangan murid Orang Asli untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Cikgu Sam pernah dinobatkan pneerima anugerah Guru Adiwira pada 2019 dan anugerah Best Teacher Award Asean-Elt Conference, 2018.


Turut tersenarai dalam 50 finalis terbaik Hadiah Guru Global 2020 adalah Guru Cemerlang Sains dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jerlun, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib.

Anugerah Hadiah Guru Global diperkenalkan pada 2013 bagi memberi pengiktirafan kepada guru-guru yang berjaya membawa inpirasi kepada pelajar dan komuniti sekitar mereka.

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4.3 juta)