PETALING JAYA:Akibat akur kepada ugutan teman lelaki untuk mendedahkan video terlanjur, seorang kerani sebuah syarikat swasta terpaksa merelakan dirinya dirogol berkali-kali sehingga dia mengandung anak luar nikah.

Ketua Polis Daerah Petaling, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian itu bermula sejak Jun lalu apabila suspek memaksa mangsa mengadakan hubungan seks buat kali terakhir pada 3 Disember lalu di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Ketika kejadian terkutuk itu katanya, teman lelaki mangsa merakam video mereka menggunakan telefon bimbitnya.

Beliau memberitahu, setiap kali mangsa enggan akur kepada permintaan teman lelakinya untuk melakukan seks, suspek menggunakan rakaman itu sebagai 'senjata' mengugutnya untuk menyebarkan rakaman tersebut kepada keluarga mangsa.

"Walaupun begitu, pada awal bulan ini, mangsa menyedari dirinya mengandung dan ketika perkara itu dimaklumkan kepada lelaki itu, suspek meminta wanita itu menggugurkan kandungannya.

"Akan tetapi mangsa enggan menuruti kehendak teman lelakinya itu dan merasai dirinya dianiaya dan ditipu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Nik Ezanee menambah, bertindak atas laporan mangsa, pihaknya menahan teman lelakinya yang berusia 23 tahun di Kota Damansara dan kini ditahan reman selama enam hari bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dijalankan.

Jika disabit salah, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Ekoran itu, beliau menasihati orang ramai terutamanya gadis di bawah umur supaya tidak mempercayai pujuk rayu dan janji manis yang ditaburkan dengan mana-mana lelaki, yang akhirnya merugikan diri sendiri.

"Cinta palsu membawa padah. Ibu bapa dinasihati agar sentiasa memantau pergerakan dan kebebasan pergaulan anak masing-masing terutamanya anak perempuan," tambahnya.