DREBAR
Ciri keselamatan pejalan kaki pada kereta: Apa disebalik pernyataan ini?

Baru-baru ini timbul sebuah rakaman video kamera papan kemuka, dan pada penghujungnya pemandu kereta tersebut malangnya tidak dapat mengelak melanggar seorang kanak-kanak kecil yang melintas jalan secara merbahaya. Mengikut laporan, kemalangan itu berlaku di Butterworth.
Nasib kanak-kanak itu, yang dikenalpasti sebagai Nur Adil Hakim Mohammad amat baik kerana walaupun perlanggaran kelihatan dramatik, mangsa berumur sembilan tahun ini hanya mendapat luka kecil pada kepala, pipi kanan dan kaki.
Faktor tambahan juga adalah kelajuan kereta yang terlibat – tidak ada maklumat tepat mengenainya, tetapi dari pandangan kasar ia tidaklah terlalu laju. Pemandu juga telah melakukan brek kecemasan untuk mengurangkan impak. Kami sendiri ingin mengetahui jenis dan model kereta yang dipandu.
Keselamatan pejalan kaki
Pengeluar kereta sudah mula menyertakan beberapa langkah tambahan untuk menjadikan kereta lebih selamat bagi pejalan kaki sejak sepuluh tahun lepas. Idea yang paling awal diadaptasi oleh para jurutera adalah meninggikan bonet agar terdapat lebih jarak dengan enjin.
Objektifnya adalah untuk mewujudkan ruang untuk bonet itu remuk dan menyerap daya hentakan yang selalunya melibatkan bahagian kepala pejalan kaki.

Pihak pereka kereta juga mula menggunakan bonet yang lebih cekap di dalam menyerap kuasa perlanggaran (dari segi rekaan dan bahan buatan), sekaligus mengurangkan kecederaan kepada mangsa. Dan jika anda tertanya-tanya mengapa lebih banyak kereta gemar menutup enjin dengan plastik (engine cover), ia untuk alasan sama – jika (kepala) mangsa mampu remukkan bonet sehingga menyentuh enjin, plastik ini akan dapat menyerap lagi daya hentakan terlibat.
Dalam hal sama, faktor keselamatan banyak mempengaruhi kos; sebab itulah tidak banyak model di dalam segmen yang bersandar kepada harga murah seperti segmen A dan ‘supermini’ dapat mencapai markah tinggi bagi keselamatan pejalan kaki.
Selain itu, rekaan dan bahan buatan bampar hadapan juga diambil kira. Sebagai contoh, bahagian hadapan kereta moden kelihatan lebih runcing daripada dahulu untuk mengelakkan mangsa terperusuk ke bawah. Atas sebab yang sama, model-model segmen pikap dan SUV – yang lebih tinggi – sukar mendapat markah ujian perlanggaran yang memuaskan bagi pejalan kaki (pedestrian safety).[Nota: Laporan keselamatan WHO menyatakan daripada 1.25 juta yang maut akibat kemalangan di atas jalan raya pada tahun 2013 di seluruh dunia, sehingga 22% daripadanya adalah pejalan kaki; ataupun 275,000 orang]
Bagi Volvo pula, contohnya, mereka mengambil inisiatif seterusnya dengan memperkenalkan beg udara kecemasan untuk pejalan kaki pertama di dunia bagi model V40 tahun 2012.
Bagaimana keberkesanan ciri-ciri ini diuji? Protokol perlanggaran NCAP untuk keselamatan pejalan kaki terbahagi kepada beberapa ujian yang memfokuskan kesan terhadap anggota-anggota badan yang berbeza.[Nota: Mengikut kajian yang dibuat Agensi Kesihatan Dunia (WHO), seorang pejalan kaki dewasa mempunyai 20% kemungkinan untuk maut jika dilanggar pada kelajuan kurang daripada 50km/j; tetapi peratusan itu meningkat ke 60% jika kelajuan meningkat ke 80km/j.


[Nota: Kenapa 40km/j? Kerana kajian mendapati langkah-langkah perlindungan yang boleh digunapakai pada kelajuan ini adalah praktikal (kebanyakkan kemalangan dengan pejalan kaki berlaku di kawasan bandar, dan pada kelajuan rendah). Kemampuan perlindungan pada kelajuan ini juga berkesan untuk mengurangkan tahap kecederaan pejalan kaki sekalipun pada kelajuan kereta lebih tinggi.]
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami