PETALING JAYA : Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah dilakukan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), mendapati pencapaian kebangsaan bagi Ciri-ciri Negara Rahmah bagi tahun 2022 adalah pada skor 6.47 atau kategori sederhana.

Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin berkata, angka itu menunjukkan peningkatan daripada tahun 2021 yang mencatatkan skor 6.09.

Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah pada tahun 2022 dilakukan bagi meninjau persepsi masyarakat terhadap situasi kemajuan negara dalam pelbagai aspek, dengan melibatkan seramai 2,006 responden dari seluruh negara.

Kajian pertama telah dilakukan pada tahun 2021 dengan melibatkan seramai 3,100 responden.

Kaedah kajian adalah dengan menggunakan penarafan skor 1 (skor terendah) hingga 10 (skor tertinggi).

"Ciri-ciri yang mendapat tiga skor tertinggi ialah Institusi Keluarga yang Utuh (7.66), Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni (7.40), Masyarakat yang Berilmu, Berakhlak Penyayang (7.32), menunjukkan Malaysia berada di landasan yang betul dan boleh ditambah baik dalam merealisasikan Gagasan Malaysia Madani.

"Manakala ciri Tadbir Urus yang Baik (5.68), Ekonomi yang Mampan (5.78) dan Kepimpinan yang Kompeten dan Berintegriti (5.80) mendapat skor yang terendah.

"Ini bermakna usaha-usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Perpaduan dalam memperkemas tata kelola urusan pentadbiran kerajaan sangat signifikan untuk difokuskan terutama dalam membanteras rasuah sehingga ke akar umbi," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Ujarnya, walaupun skor indeks berkenaan bukan satu petunjuk yang mutlak, namun ia telah memberikan satu nilai persepsi relatif masyarakat umum terhadap keadaan semasa negara.

"IKRAM juga melihat Indeks Malaysia Negara Rahmah dapat memberi salah satu gambaran ukuran terhadap usaha-usaha semua pihak dalam membangunkan negara.

"Justeru, IKRAM, sebagai sebuah NGO bersedia untuk bersama-sama meneruskan usaha membangunkan negara selaras dengan Gagasan Malaysia Madani," jelasnya.

IKRAM juga telah membentangkan hasil Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah kepada Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dan susulan daripada itu, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pegawai kementerian bagi membangunkan indeks berkaitan perpaduan merangkumi Ciri-ciri Negara Rahmah.

Malah, jika diberi peluang, pihaknya berhasrat untuk membentangkan kajian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi berkongsi dapatan dan bersama-sama merangka usaha ke arah Malaysia Madani.