KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengakui bahawa Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin COVID-19 setakat 1 Jun dan bukan 2.9 juta dos seperti yang didakwa sebelum ini.

Memetik portal berita CodeBlue, CITF mengulas mengenai angka penghantaran dos vaksin yang berbeza antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan kerajaan negeri Selangor.

Pada Khamis, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud menyangkal angka penghantaran vaksin daripada MOSTI.

Sebaliknya, beliau menegaskan hanya 615,210 dos vaksin yang diterima Jabatan Kesihatan Negeri Selangor setakat 1 Jun.

Jumlah itu terdiri daripada 434,070 dos vaksin Pfizer-BioNTech, 146,440 dos vaksin Sinovac dan 34,700 dos vaksin AstraZeneca-Oxford.

“Angka yang diberi kepada CodeBlue sebelum ini termasuk kedua-dua stok termasuk stok yang disimpan oleh kerajaan serta sebahagian lagi di gudang pengedar yang terletak di Selangor untuk diedarkan ke seluruh negara.

“Kesilapan data yang diberi kepada CodeBlue amat dikesali,” tambah CITF.

Pada Khamis, portal berita itu melaporkan bahawa 2,909,670 dos vaksin disalurkan ke negeri Selangor berdasarkan angka-angka yang diberikan MOSTI Khairy Jamaluddin di sidang media pada 31 Mei.

Namun, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menjelaskan hanya 615,210 dos vaksin yang diterima, termasuk 389,029 yang telah disuntik setakat 30 Mei.