JOHOR BAHRU: Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) diminta untuk menambah tujuh lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak dan jangkauan luar di Johor.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah itu adalah tambahan kepada 13 PPV yang sedia ada pada ketika ini.

"Saya berharap agar jumlah ini dapat direalisasikan sebelum berakhirnya bulan September ini.

"Usaha ini adalah selaras dengan komitmen kami bagi program jangkauan iaitu untuk mempercepatkan lagi proses vaksinasi di negeri-negeri yang akan berhadapan musim tengkujuh termasuk negeri Johor," katanya 
ketika lawatan kerja beliau ke PPV Mount Austin, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Adham memaklumkan, sehingga 4 September lalu, sejumlah 175,360 penduduk Johor sudah menerima suntikan vaksin di 13 PPV bergerak dan jangkauan luar sedia ada.

Daripada jumlah itu, katanya, 89,263 menerima dos pertama vaksin, dan 86,097 telah melengkapkan dua dos.

"Secara keseluruhan 261,457 dos diberi di 13 PPV bergerak dan luar jangkauan ini.

Sehubungan itu, beliau yakin dengan penambahan PPV menjadikan 20 PPV, lebih ramai penduduk  Johor khususnya di luar bandar akan mendapat suntikan vaksin dalam tempoh terdekat.

"Untuk rekod, terdapat sebanyak 364 PPV di Johor dengan jenis berbeza," jelasnya.

Dr Adham memberitahu, setakat Sabtu sebanyak 36.1 juta suntikan dos diberikan di seluruh Malaysia, dengan 20.4 juta individu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin, manakala 15.77 juta lagi telah lengkap divaksinasi.

Menurutnya, ini menjadikan peratusan populasi dewasa yang telah lengkap divaksinasi di seluruh Malaysia adalah sebanyak 67.4 peratus.

"Di Johor sahaja, sebanyak 3.68 juta suntikan dos diberi kepada 2.25 juta penduduk bagi dos pertama dan 1.42 juta dos yang kedua.

"Setakat ini, Johor menyaksikan 83.1 peratus daripada populasi dewasa yang menerima sekurang-kurangnya dos pertama dan 52.6 peratus yang lengkap divaksinasi.

Menurutnya lagi, kadar purata vaksinasi harian di Johor sepanjang tujuh hari lalu adalah 59,683 dan pada Sabtu sahaja, sebanyak 59,240 dos diberikan di seluruh negeri Johor.

"Sepertimana diketahui ramai, bekalan vaksin yang diperolehi negara adalah bergantung kepada stok di peringkat global.

"Sukacita dimaklumkan, negeri Johor kini merupakan negeri kedua menerima bekalan vaksin terbanyak pada bulan Ogos lalu di mana sebanyak 2.105 juta dos  dibekalkan dengan 1.04 juta dos Pfizer, Sinovac (856,000)  dan AstraZeneca (203,000).

Sementara itu, katanya, pada September lalu, Johor masih menjadi negeri kedua yang akan menerima jumlah vaksin terbesar sebanyak 1.984 juta dos iaitu 1.82 juta dos Pfizer, 100,000  dos Sinovac, AstraZeneca (40,000) dan  CanSino (22,000).

"Dengan jumlah bekalan ini, saya pasti usaha vaksinasi di Johor akan dapat dipertingkatkan lagi.

"Saya juga ingin menyeru agar pihak CITF di Johor dapat memastikan kapasiti dan tenaga kerja yang mencukupi di seluruh negeri agar usaha vaksinasi seharian dapat dijalankan dengan baik dan tanpa sebarang gangguan," tambahnya.