MALAYSIA
‘Citizen journalism’ dan media arus perdana perlu main peranan bina peradaban media sosial

Noor Nirwandy berkata, walaupun kewartawanan warga membawa hak kebebasan bersuara, ia tetap tertakluk kepada garis etika serta undang-undang sedia ada. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: 'Citizen journalism' (kewartawanan warga) dan media arus perdana perlu saling memeriksa dan melengkapi antara satu sama lain bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat, beretika dan mengikut perkembangan semasa.
Pakar perang saraf yang juga penganalisis keselamatan dan politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, walaupun kewartawanan warga membawa hak kebebasan bersuara, ia tetap tertakluk kepada garis etika serta undang-undang sedia ada.
“Pihak agensi penguatkuasaan perlu sentiasa memantau ‘gelembung algoritma’ yang terbentuk di media sosial, supaya penceritaan yang dibawa memberi manfaat kepada rakyat berdasarkan fakta sebenar, tetapi pada masa sama mengikut trend pengguna,
“Kita perlukan media arus perdana yang cekap dan efektif menangani gelombang algoritma, serta kerajaan yang sentiasa menilai bentuk tadbir urus perang saraf yang sesuai mengikut peredaran semasa,” katanya ketika temu bual bersama Astro AWANI. Menurut beliau, situasi itu lebih ketara apabila berlaku kes berprofil tinggi seperti insiden membabitkan kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, yang menyaksikan perbincangan rawak dan spekulasi berleluasa di platform seperti TikTok, Facebook dan X.
Beliau menegaskan, pendekatan itu mampu membentuk peradaban komunikasi media sosial yang sihat, iaitu rakyat tahu mendapatkan berita yang tepat walaupun dalam situasi konflik.
Malah, Nirwandy menegaskan, dengan adanya regulasi yang baik, penambahbaikan undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia media arus perdana, negara dapat membentuk nilai kemanusiaan dan jaminan keterbukaan yang lebih kukuh.
"Walaupun citizen journalism mampu memberi tekanan positif sebagai suara masyarakat, ia juga berisiko menyebarkan maklumat tidak sahih, mengganggu siasatan atau melanggar undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Di sinilah pentingnya garis panduan dan kawalan kendiri supaya perbincangan awam tidak melanggar batas undang-undang,” ujarnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami