PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu menyambung rakaman percakapan bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, James Chai hampir 10 jam.
Beliau diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung projek semikonduktor dibiayai kerajaan bernilai kira-kira RM1.1 bilion.
Advertisement
Beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini sekitar pukul 9.45 pagi sebelum meninggalkan bangunan berkenaan pada 6.45 petang.
Ini merupakan hari kedua James Chai atau nama sebenarnya, Chai Jin Shern memberi keterangan selepas sesi pertama pada Selasa berlangsung hampir lapan jam sehingga kira-kira jam 6.30 petang.
Menurut sumber, proses rakaman percakapan itu turut melibatkan semakan beberapa dokumen penting berkaitan siasatan.
“Saksi hadir bagi hari kedua untuk dirakam percakapan dan membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan saksi yang merupakan bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas (Dasar) Menteri di sebuah kementerian diminta hadir semula esok pukul 10 pagi bagi menyambung keterangan.
Siasatan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan Arm Holdings.
Ia dibuka susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempersoalkan proses perjanjian berkenaan, termasuk dakwaan ia dibuat secara tergesa-gesa serta berpotensi memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.
Selain itu, siasatan turut meneliti kemungkinan wujud konflik kepentingan membabitkan pelantikan beberapa individu ke jawatan dalam syarikat asing selepas meninggalkan perkhidmatan dalam kementerian.
Pada 1 April lalu, SPRM memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk tampil membantu siasatan, termasuk menawarkan tanggungan kos penerbangan untuk pulang ke Malaysia.
Sebelum ini, pada 16 Februari, SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan.