COP26: Malaysia sokong Ikrar Metana Global, sasar pelepasan GHG sifar pada 2050 - Tuan Ibrahim

Faris Danial Razi
November 10, 2021 13:45 MYT
Tuan Ibrahim menjelaskan, negara juga mempunyai aspirasi untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050. - Gambar/ Astro AWANI
GLASGOW: Malaysia menyokong Ikrar Metana Global dan Deklarasi Pemimpin di Glasgow mengenai Hutan dan Guna Tanah.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sewaktu menghadiri Sidang Kemuncak COP26 di Glasgow, berkata negara juga mempunyai aspirasi untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih sifar pada 2050.
“Kerajaan bersetuju untuk menyokong Ikrar Metana Global dan Deklarasi Pemimpin di Glasgow mengenai Hutan dan Guna Tanah.
“Walau bagaimanapun, pelaksanaan Perjanjian Paris memerlukan tambahan pembiayaan kewangan pembinaan tekonologi dan pembangunan kapasiti untuk negara membangun.
“Sehubungan itu, Malaysia menyeru kepada semua negara maju untuk memenuhi obligasi mereka di bawah Perjanjian Paris,” ujarnya ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Segmen Peringkat Tertinggi Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (UNFCCC COP-26) pada malam Rabu.
BACA: Tuan Ibrahim ketuai delegasi ke COP26, meterai Deklarasi Pemimpin
BACA: COP26: Perjalanan bermula dari Glasgow ke Pahang - Tengku Hassanal
Malaysia pada sama mengemukakan Nationally Determined Contribution (NDC) yang mempunyai sasaran pengurangan intensiti pelepasan GHG merentas ekonomi sebanyak 45 peratus (berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar) pada 2030 berbanding 2005.
Jelas Tuan Ibrahim, pengurangan intensiti tersebut dibuat tanpa syarat dan 10 peratus lebih tinggi berbanding sasaran sebelum ini.
“Sasaran NDC Malaysia juga merangkumi tujuh jenis GHG berbanding tiga jenis sebelum ini.
“Malaysia juga mempunyai aspirasi untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050, tertakluk kepada penyediaan strategi jangka masa panjang pembangunan rendah karbon Malaysia pada tahun 2022,” ujarnya lagi.
BACA: 'Janji di Paris perlu dikotakan di Glasgow' - Presiden COP26
Bagi mencapai aspirasi dan sasaran tersebut, Malaysia akan melaksanakan perkara-perkara berikut:
1. Melaksanakan dasar ‘carbon pricing’ secara berfasa untuk menyokong usaha negara untuk mengurangkan pelepasan GHG;
2. Mencapai kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 31% pada tahun 2025 dan 40% pada tahun 2035 bagi grid kebangsaan melalui Pelan Peralihan Tenaga Malaysia 2021- 2040;
3. Aspirasi sasaran perolehan 100% kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman pada tahun 2030;
4. Mengekalkan sekurang-kurangnya 50% litupan hutan negara seperti yang diumumkan di Persidangan Bumi Rio pada tahun 1992;
5. Melaksanakan kaedah natural-based solution sebagai asas penyelesaian global bagi mengurangkan kesan jangka panjang seperti penanaman 100 juta batang pokok bermula pada tahun 2021 hingga 2025;
6. Mencapai sasaran sifar sisa yang dihantar ke tempat pelupusan sampah melalui konsep sisa kepada tenaga dan meningkatkan kadar kitar semula kepada 40% pada tahun 2025;
7. Transformasi bandar di Malaysia ke arah pembangunan rendah karbon di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon;
8. Meningkatkan ketahanan kepada impak jangka masa panjang perubahan iklim melalui pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan.
COP26 bertujuan untuk menarik perhatian dunia kepada isu perubahan iklim dan kebanyakan perbincangan yang dibuat adalah berkaitan inisiatif yang boleh dilakukan oleh syarikat-syarikat besar dalam memberi kerjasama.
Persidangan bagi membincangkan isu global itu kini memasuki minggu kedua sebelum berakhir pada 12 November.
#Tuan Ibrahim Tuan Man #COP26 #Deklarasi Pemimpin #Perjanjian Paris