KUALA LUMPUR: Jemaah menteri bersetuju supaya Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) di Glasgow, Scotland.

Menurut kenyataan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada Jumaat, beliau akan menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi dan menyampaikan kenyataan negara di persidangan tersebut pada 9 hingga 10 November.

Sebelum ini, delegasi negara ke COP26 diketuai Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Tuan Ibrahim bakal memeterai kedua-dua deklarasi dan ikrar yang dilancarkan di COP26 bagi melindungi alam sekitar dan menangani perubahan iklim.

“Jemaah menteri juga telah bersetuju supaya Malaysia menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah dan Ikrar Metana Global bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global,” menurut kenyataan itu.

“Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah bertujuan memperkukuh komitmen negara-negara terhadap penggunaan tanah, pemuliharaan dan pengurusan hutan serta ekosistem yang lain secara mampan.

“Penyertaan Malaysia bersama-sama dengan 131 negara lain dalam deklarasi ini adalah selaras dengan komitmen negara untuk terus mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok.”

Manakala bagi Ikrar Metana Global, Malaysia akan menyertai 103 negara lain untuk bersama “mengurangkan pelepasan metana global sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030 berbanding tahapnya pada tahun 2020”.

Tambah kenyataan itu lagi, Malaysia komited untuk bersama negara-negara ahli Perjanjian Paris dalam usaha mengekalkan purata peningkatan suhu global abad ini supaya tidak melebihi 2 darjah Celcius serta meneruskan tindakan mitigasi bagi mengehadkan suhu supaya tidak melebihi 1.5 darjah Celcius.

Pada masa yang sama, Tuan Ibrahim pada Jumaat memaklumkan melalui Facebook bahawa jemaah menteri telah meluluskan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (2021-2030) LCMB pada 29 Oktober lalu.

“Pelaksanaan LCMB berpotensi mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 165 juta tan menjelang tahun 2030 bersamaan dengan pengurangan 3 juta kenderaan di atas jalan raya atau penanaman sebanyak 410 juta pokok yang dapat bertindak sebagai 'carbon sink' bagi penyerapan karbon.”

 
Sumber Facebook ustaztitm