KUALA LUMPUR: Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (COP28) di Dubai terus diteruskan sehingga 12 Disember 2023 bagi mencari solusi bermakna kepada cabaran perubahan iklim yang dihadapi dunia.

Pemimpin dari pelbagai negara dan latar belakang tampil di pentas global itu bagi menggerakkan usaha bagi berkongsi dapatan terkini mengenai landskap iklim dunia, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, membiayai negara-negara kurang membangun menghadapi cabaran perubahan iklim.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merupakan antara pemimpin muda yang menyerlah dalam agenda hijau yang sedang diusahakan di platform antarabangsa COP28.

Pada Sabtu baginda berkenaan melancarkan Kempen Pahang Netzero 2030 yang berpaksikan kepada lima tonggak utama iaitu tenaga; pengangkutan dan persekitaran pembinaan; sisa dan kitar semula; industri dan perkhidmatan; guna tanah, pertanian serta perhutanan.

Sempena COP28, ikuti wawancara eksklusif bersama Tengku Hassanal dalam Agenda AWANI pada Rabu, 6 Disember, 8.30 malam di saluran 501 Astro AWANI. Baginda mengupas mengenai peranan belia dan cabaran merakyatkan kefahaman mengenai agenda hijau kepada seluruh masyarakat.