KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,047 kes baharu yang membabitkan varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta dikesan dari tempoh 29 Okt hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan termasuk yang dijangkiti SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) adalah sebanyak 3,692 kes.

"Daripada jumlah keseluruhan yang dikesan itu, 3,672 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi kes VOC sehingga kini, terdapat 3,432 kes varian Delta, 226 kes membabitkan varian Beta dan 14 kes adalah varian Alpha.

"Bagi kes-kes VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta," katanya.

Beliau berkata varian-varian kes ini dikesan hasil kajian berterusan oleh Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM-UNIMAS), Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI-UKM), Institut Farmakogenomik Integratif Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM) dan Institut Genom Malaysia (MGI).

-- BERNAMA