PARIS: Kira-kira 1,300 penuntut kejururawatan di Perancis mengambil keputusan untuk berhenti akibat keletihan melampau, di tengah-tengah pandemik COVID-19, menyebabkan berlaku kekurangan staf di hospital, kata Menteri Kesihatan Olivier Veran pada Khamis.

Laporan Majlis Saintifik Perancis yang dikeluarkan awal Oktober mendedahkan bahawa 20 peratus atau satu daripada lima katil di hospital awam tidak dapat digunakan akibat kekurangan kakitangan.

Beliau berkata sekitar 1,300 pelajar kejururawatan itu berhenti antara 2018 sehingga sekarang, lapor agensi Anadolu.

Antara punca kepada masalah berkenaan, katanya kebanyakan penuntut itu memulakan latihan amali mereka ketika gelombang pertama pandemik COVID-19 melanda.

Tambahnya, mereka keletihan kerana ramai terpaksa membatalkan cuti dan tidak mempunyai cukup masa untuk berehat.

Menurut laporan majlis saintifik itu, hospital di Perancis mengalami kekosongan dalam lima profesion: jururawat, anestesiologi, juruteknik radiologi dan ahli fisioterapi.

Veran berkata krisis itu bukan hanya berlaku di Perancis malah banyak negara lain di seluruh Eropah juga berdepan isu yang sama kesan daripada gelombang pandemik.

-- BERNAMA