KUALA LUMPUR:Kes positif COVID-19 kembali kepada empat angka dengan sebanyak 1,304 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 45,095 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, terdapat empat kes import dilaporkan melibatkan warganegara yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Kesemua kes import yang dilaporkan adalah mereka yang tiba dari negara Arab Saudi (3) dan Mesir (1).

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini menjadi 11, 822 kes,” katanya ketika sidang media pada Jumaat.

Berdasarkan status penularan COVID-19 mengikut negeri, Sabah masih merekodkan kes tertinggi mencatatkan pertambahan sebanyak 556 kes dan diikuti Selangor (361 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (201) dan Negeri Sembilan (83).

Negeri-negeri lain ialah Pulau Pinang merekodkan 42 kes, Sarawak (13), Perak (13), Melaka (13) dan Kedah (5).

Tidak ketinggalan Kelantan mencatatkan lima kes, Wilayah Persekutuan Labuan (4), Johor (3) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1).

Sebanyak 96 kes yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala daripada jumlah itu, terdapat 39 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, kes kematian terus dilaporkan hari ini dengan pertambahan sebanyak satu kes kematian melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun dari Sabah.

Jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 kini sebanyak 304 kes.

Setakat hari ini, 900 kes pulih COVID-19 direkodkan sebanyak menjadikan jumlah kumulatif kes pulih COVID-19 di Malaysia sebanyak 32,969 kes.

Ikuti perkembangan terkini COVID-19 di sini