MARANG: Sebanyak 21 kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian Delta dan Beta dikesan di Terengganu sejak Julai sehingga 14 September.

Daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes membabitkan varian Delta, manakala baki sembilan adalah varian Beta.

Pengarah Kesihatan Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata peningkatan varian Delta amat membimbangkan ekoran keboleh jangkitan yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah.

"Kalau kita lihat di sini sebenarnya hanya Kuala Nerus sahaja yang belum kita kesan dengan varian ini.

"Kalau kita lihat di Setiu kita ada satu, di Kuala Terengganu kita ada empat, di Marang kita ada tiga, dua di Kemaman, dua di Dungun, lima di Hulu Terengganu dan empat di Besut," katanya.

Dr Kasemani turut menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berada di luar rumah.

Katanya sehingga kini kira-kira lebih 90 peratus komuniti dewasa di Terengganu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.