PUTRAJAYA:Sebanyak 12 lagi kes kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan pada Khamis, dengan kesemuanya membabitkan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 642.

Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, beliau turut memaklumkan 3,170 kes baharu dicatatkan,  menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 172,549.

Ujarnya lagi, jangkitan tempatan melibatkan 3,162 kes, di mana 2,475 adalah warganegara, manakala 687 lagi bukan warganegara.

Selain itu, beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 41,755 kes, manakala kes sembuh terbaharu adalah 2,490 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi dengan 576 kes, diikuti Selangor, 545 kes, dan Johor, 423 kes.

Selain itu beliau berkata, terdapat 260 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala 103 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 576 kes (18.2 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 310 kes (56.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 545 kes (17.2 peratus), dan Johor sebanyak 423 kes (13.2 peratus)"

"Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat (4) kes dari Johor, tiga (3) kes dari Selangor, dua (2) kes dari Sabah dan masing-masing satu (1) kes dari Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak, dan kesemua kes adalah warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut memaklumkan terdapat enam belas kluster baharu dikenal pasti di beberapa negeri iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Kedah, Terengganu dan Pahang.

Jelasnya lagi, daripada keseluruhan kluster baharu, 11 kluster berkaitan tempat kerja, dua (2) kluster komuniti, dua (2) kluster yang melibatkan kumpulan berisiko, dan satu (1) kluster berkaitan keagamaan.