KUALA LUMPUR : Jumlah bagi kes harian baharu COVID-19 kekal mencatatkan trend penurunan apabila sebanyak 14,345 kes dilaporkan bagi tempoh 24 jam yang lalu berbanding 14,954 kes yang direkodkan pada hari sebelumnya.

Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak pandemik itu melanda negara ini adalah sebanyak 2,112,175 kes

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Sarawak masih melaporkan kes harian tertinggi dengan sebanyak 3,611 kes dilaporkan, diikuti Johor (1,598) dan Selangor (1,365). 

Dalam pada itu beberapa lagi negeri lain mencatatkan kes di bawah angka 1,000 antaranya Pahang (779), Melaka (162), Terengganu (804), dan Kedah (967). 


Dalam pada itu, menurut data COVIDNOW setakat semalam, kadar kematian mencatatkan pertambahan sebanyak 376 kes menjadikan angka kumulatif melonjak kepada 23,443 kes. 

Setakat ini juga, Unit Rawatan Rapi (ICU) sedang menempatkan seramai 1,167 pesakit dan daripada jumlah itu juga, 636 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Manakala jumlah kes pulih pula hari ini melaporkan pertambahan sebanyak 16,814 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kepada 1,880,736 kes. 

Mengenai perkembangan vaksinasi negara, setakat tengah malam Ahad, seramai 219,081 lagi individu telah menerima suntikan vaksin. 

Secara keseluruhan, 18,453,322 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dan angka itu juga bersamaan dengan 78.8 peratus jumlah populasi dewasa di negara ini.