Kes positif COVID-19 di Malaysia kembali kepada dua digit berikutan terdapat 14 lagi kes baharu positif yang dilaporkan pada Ahad.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 8,718 kes.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 77 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada 14 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua warganegara Malaysia.

“Daripada 11 kes penularan di dalam negara pula, tiga kes adalah di kalangan warganegara dan lapan kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan yang diedarkan.

Perincian kes jangkitan dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (3 kes) adalah seperti berikut:

• Sarawak - dua kes:

* Satu kes saringan bergejala yang telah menjalankan saringan di pusat perubatan di Kuching, dan kemudiannya dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak setelah didapati positif COVID-19;

* Satu kes yang merupakan kontak rapat kes ke-8694 iaitu sebahagian daripada Kluster Kejuruteraan Kuching. Kluster ini akan diperincikan di bawah;

• Sabah - satu kes saringan pra rujukan ke Hospital Keningau

Dalam pada itu, beliau berkata, empat kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada Ahad.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,519kes (97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tiada sebarang kematian berkaitan COVID-19 direkodkan hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, terdapat tiga (3) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua (2) kes memerlukan bantuan pernafasan.