Delhi kuat kuasa larangan masuk kenderaan persendirian luar gagal patuhi piawaian

Langkah itu diambil ketika pihak berkuasa mempertingkatkan usaha bagi menangani masalah pencemaran udara yang semakin buruk. - AP
NEW DELHI: Larangan kemasukan kenderaan persendirian dari luar Delhi yang tidak memenuhi piawaian bahan cemar Bharat Stage VI (BS-VI), serta penguatkuasaan peraturan "Tiada PUC, Tiada Bahan Api", berkuat kuasa di ibu negara India itu pada Khamis.
Langkah itu diambil ketika pihak berkuasa mempertingkatkan usaha bagi menangani masalah pencemaran udara yang semakin buruk, lapor Press Trust of India (PTI).
Di bawah peraturan itu, stesen minyak tidak dibenarkan membekalkan bahan api kepada kenderaan yang tidak mempunyai Sijil Pollution Under Control (PUC) yang sah, dengan penguatkuasaan dilakukan menggunakan kamera pembaca nombor pendaftaran automatik, amaran suara di stesen minyak serta bantuan pihak polis.
Menurut pegawai, seramai 580 anggota polis dikerahkan di 126 pusat pemeriksaan termasuk pintu masuk sempadan.
Selain itu, pasukan penguat kuasa daripada Jabatan Pengangkutan Delhi ditempatkan di stesen minyak dan pintu masuk sempadan bagi memastikan pelaksanaan peraturan yang berkesan, kata mereka.
Bagaimanapun, larangan masuk itu tidak terpakai kepada kenderaan berkuasa gas asli termampat (CNG) atau elektrik, pengangkutan awam, serta kenderaan yang membawa barangan keperluan asas atau menyediakan perkhidmatan penting.
Kenderaan yang mengangkut bahan binaan juga tidak dibenarkan memasuki bandar raya itu di bawah sekatan Pelan Tindakan Tindak Balas Berperingkat (GRAP) Tahap IV.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


