JOHOR BAHRU: Seramai 159 pelajar daripada lima sekolah di sekitar daerah ini telah diarah untuk menjalani saringan COVID-19 di Pusat Penilaian COVID-19 di Pasir Gudang dan Bukit Indah, semalam.

Tanpa mendedahkan nama sekolah terbabit, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata tindakan kawalan itu dijalankan bagi memastikan tiada penularan berlaku di dalam sekolah yang dikenal pasti.

"Kebelakangan ini, Johor melihat peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan dalam kalangan warga sekolah, melibatkan guru dan pelajar.

"Kebanyakan kes adalah akibat penularan di rumah ekoran daripada aktiviti sosial keluarga, yang mana ramai ahli keluarga dari jauh bertemu dan berkumpul untuk bermesra di dalam rumah. Kebanyakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan 3S iaitu ruang sempit, sesak dan sembang dekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata bagi setiap warga sekolah yang dilaporkan positif, pihak Jabatan Kesihatan akan menjalankan survelan dan saringan kontak rapat bagi memastikan tiada penularan berlaku di dalam sekolah.

Semalam, Johor mencatatkan 387 kes baharu iaitu 285 kes adalah daripada kluster aktif dan kluster baharu di negeri itu, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 43,316.

-- BERNAMA