KUALA LUMPUR : Angka kes COVID-19 kembali meningkat berbanding semalam apabila 17,786 kes baharu dilaporkan hari ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,113,272.

Ini sekali gus merekodkan jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan negara sejak dilanda pandemik itu tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor masih mencatatkan angka tertinggi penularan dengan sebanyak 6,400 kes diikuti Kuala Lumpur, 1,962 kes, dan Kedah sebanyak 1,389 kes.

Selain itu dua negeri lain turut mencatatkan angka melebihi 1,000 kes iaitu Johor dengan 1,144 kes dan Sabah 1,035 kes.

Sementara itu, kes kematian mencatatkan pertambahan sebanyak 165 kes dengan jumlah kumulatif kini sebanyak 9,024 kes.

Setakat ini, sebanyak 1,062 kes sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 534 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala kes sembuh secara keseluruhannya kini sebanyak 914,639 kes termasuk jumlah kes sembuh baharu hari ini iaitu sebanyak 11,718 kes.