KUALA LUMPUR: Sarawak kekal merekodkan kes positif COVID-19 tertinggi dalam negara dengan 2,121 kes dilaporkan hari ini.

Bagaimanapun menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, 99.39 peratus merupakan kes kategori satu dan dua.

‘’483 kes atau 22.77 peratus merupakan kes kategori satu, 1,625 atau 76.61 peratus melibatkan kategori dua.

‘’Tiga kes atau 0.14 peratus kategori tiga, empat kes atau 0.19 kategori empat dan enam kes atau 0.28 peratus kategori lima,’’ kata kenyataan itu.

BACA: COVID-19: 10,915 kes baharu, Sarawak masih tertinggi

Selain itu, tiga daerah merekodkan kes positif tiga angka melibatkan Kuching dengan 899 kes, Miri (200) dan Sibu (153).

Manakala tiga daerah mencatatkan sifar kes positif termasuk Marudi, Beluru dan Sepauh.

Antara lain, 10 kematian dilaporkan di Sarawak hari ini merupakan kes yang dilaporkan bermula 6 Ogos 2021 sehingga 30 September 2021.

“Kesemua kes kematian melibatkan pesakit berusia 39 sehingga 87 tahun dan memiliki ko-morbiditi seperti darah tinggi, kencing manis dan asma,’’ tambahnya.

Sementara itu, 12 lokaliti melibatkan tujuh daerah di negeri itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 1 Oktober 2021 sehingga 13 Oktober 2021.

Ia melibatkan Rumah Wing, Gua Sukat di Sri Aman, Rumah Baba Owin, Pasa Baroh di Betong dan Rumah Meringgai, Buku di Pakan.