KUALA LUMPUR: Jumlah kes harian COVID-19 di negara ini  pada Jumaat merekodkan penurunan apabila sebanyak 21,839 kes dilaporkan, berbanding 24,316 pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan akibat wabak tersebut sebanyak 4,101,081 kes. 

"Daripada jumlah itu , 21,552 kes adalah penularan tempatan dengan 287 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara," katanya dalam kenyataan  di sini, pada Sabtu. 

Sementara itu, data KKM di portal COVIDNow melaporkan sebanyak 52 kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian terkumpul sebanyak 34,717 orang.

Daripada 52 kes kematian itu, 15 kes merupakan kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID), dengan jumlah keseluruhan BID sebanyak 7,318.

Menerusi portal itu juga, sebanyak 247,065 jumlah keseluruhan kes aktif COVID-19 dilaporkan.

Daripada jumlah tersebut, 239,798 atau 97.1 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah, manakala 1,266 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 5,710 kes dirawat di hospital dan 291 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 188 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 103 lagi memerlukan mesin ventilator.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu, empat negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus, semalam.

Katanya, perkara itu melibatkan penggunaan katil di ICU bagi Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.

"Bagi katil bukan ICU, sebanyak lapan negeri membabitkan Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Sarawak, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak menunjukkan peratusan penggunan melebihi 50 peratus.

“Katil kes kritikal atau ICU, empat negeri iaitu Putrajaya (100 peratus), Kuala Lumpur (67 peratus), Johor (55 peratus), dan Selangor (51 peratus) menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus.

“Katil bukan ICU, lapan negeri iaitu Putrajaya (80 peratus), Selangor (73 peratus), Kuala Lumpur (61 peratus), Terengganu (57 peratus), Sarawak (55 peratus), Melaka (54 peratus), Negeri Sembilan (54 peratus), dan Perak (53 peratus) menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus," tambahnya. 

Bagi katil Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), katanya, tiada negeri yang menunjukkan peratusan pengisian  melebihi 50 peratus dan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 188 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 21 peratus.