KUALA LUMPUR: Sabah hari ini melaporkan pertambahan 2,163 kes positif COVID-19 dengan 22 kes melibatkan bayi berusia kurang satu tahun.

Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, 159 kes pula melibatkan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah dan 397 kes merupakan kanak-kanak berusia enam tahun sehingga remaja 17 tahun.

‘’Saringan kontak rapat menyumbang 1,246 kes atau 57.6 peratus, saringan individu bergajala dengan 675 kes atau 31.2 peratus dan saringan daripada kluster sedia ada dengan 36 kes.

‘’Selebihnya melibatkan lapan kes dikesan dari saringan bersasar dan 198 kes dikesan daripada lain-lain saringan,’’ katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Selain itu, Masidi menambah terdapat peningkatan dalam kes kategori empat dan lima di Sabah hari ini dengan 10 kes dilaporkan masing-masing melibatkan lapan kes kategori empat dan dua kes katgeori lima.

‘’Sejumlah 607 kes atau 28.1 peratus merupakan pesakit katgeori satu, 1,374 atau 63.5 peratus kategori dua, 17 kes katgeori tiga dan 155 kes masih lagi dalam siasatan,’’ tambahnya.

Sementara itu, Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan 147 kes berbanding angka yang dilaporkan pada Jumaat dengan 302 kes.

Tambah Masidi, kenaikan berpunca daripada 134 kes baharu yang melibatkan tahanan di Depo Imigresen Kota Kinabalu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif melibatkan orang kena tahan (OKT) di Sabah kepada 153 kes.