Menteri Pertahanan Belanda mohon maaf atas serangan udara maut 2015 di Iraq

Ruben Brekelmans memohon maaf bagi pihak kerajaan kepada Iraq atas serangan udara pada 2015 di bandar Hawija yang mengorbankan puluhan orang awam.
MOSCOW: Menteri Pertahanan Belanda, Ruben Brekelmans pada Khamis memohon maaf bagi pihak kerajaan kepada Iraq atas serangan udara pada 2015 di bandar Hawija yang mengorbankan puluhan orang awam, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Bagi pihak kerajaan Belanda, saya secara peribadi memohon maaf di Hawija atas kehilangan nyawa orang awam yang tidak disengajakan akibat serangan udara 2015 semasa perang menentang IS," tulis Brekelmans di platform media sosial X.
Beliau menyampaikan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa dan berikrar menyalurkan tambahan EUR10 juta (AS$11.6 juta) bagi membiayai projek komuniti tempatan.
Pada 3 Jun 2015, tentera udara Belanda mengebom sebuah gudang di Hawija, di utara Iraq, dalam operasi menentang IS yang dijalankan oleh pakatan antarabangsa yang diterajui Amerika Syarikat (AS).
Gudang itu dipercayai menyimpan senjata.
Pengeboman tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya 85 orang awam dan memusnahkan kediaman di sekitarnya.
Siasatan, termasuk oleh PAX, sebuah kumpulan advokasi keamanan antarabangsa yang berpangkalan di Belanda, mendedahkan bahawa kerajaan Belanda selama bertahun-tahun telah menyembunyikan sebahagian maklumat mengenai serangan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


