KUCHING: Sarawak melaporkan pertambahan 221 kes positif COVID-19 dengan Kuching menyumbang angka kes positif tertinggi iaitu 67 kes.

Ia diikuti Sibu (63), Bintulu (28), Meradong (24), Kapit (15), Samarahan (11), Miri (lima), Bau (tiga), Subis (dua) dan satu kes di Beluru, Betong dan Kanowit.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, satu kematian akibat COVID-19 juga dilaporkan di Hospital Sibu.

“Kes kematian ke-74 melibatkan kes 5,707 merupakan warga tempatan berusia 58 tahun yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom COVID-19.

“Dia disahkan positif pada 7 Februari 2021 dan meninggal dunia pada 20 Februari 2021 setelah kesihatannya terus merosot,” kata Uggah.

Selain itu, dua kluster baharu melibatkan Kluster Emperoh Jambu di Kuching dan Kluster Sungai Bakong di Meradong dilaporkan, menjadikan jumlah kluster aktif di negeri itu kepada 24.

Kluster Emperoh Jambu melibatkan daerah Kuching, Samarahan dan Serian merupakan kluster komuniti yang dikesan menerusi kes indeks 7,095.

Dia disahkan positif COVID-19 menerusi saringan sebelum memulakan tugas pada 16 Februari 2021.

“Kes indeks dipercayai menjangkiti ahli keluarga dan berkemungkinan merebak kepada kontak lain semasa upacara pengkebumian ahli keluarga isteri kes indeks pada 3 hingga 5 Februari 2021.

“Setakat ini, 60 kes positif dilaporkan menerusi saringan terhadap 337 individu dengan 40 disahkan negatif manakala 237 masih menunggu keputusan ujian makmal,” tambahnya.

Kesemua kes terlibat dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan PKRC Kuching bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Manakala Kluster Sungai Bakong yang melibatkan Asrama Murni di SMK Meradong dikesan selepas kes indeks 7,435 disahkan positif selepas menjalani saringan individu bergejala pada 15 Februari 2021.

Menerusi saringan pengesanan secara aktif di asrama sekolah tersebut, tambahan 21 kes positif COVID-19 dikesan.

Sehingga kini, 593 individu telah disaring dengan 22 kes disahkan positif (termasuk kes indeks), 37 disahkan negatif manakala 534 masih menunggu keputusan ujian makmal.

Kesemua 22 kes tersebut dimasukkan ke Hospital Sarikei dan PKRC Sarikei bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Malah semua guru, kakitangan dan pelajar asrama di SMK Meradong yang terdedah juga diarahkan menjalani kuarantin dan kawalan pergerakan yang terhad di dalam sekolah sahaja.