KUALA LUMPUR:Syarikat pembuat pelapis kulit kereta, Pecca Group Bhd (Pecca) mengesahkan 246 pekerjanya positif COVID-19.

Menurut Pecca dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Bursa Malaysia mereka yang disahkan positif adalah kakitangan produksi dari anak syarikatnya, Pecca Leather Sdn Bhd (PLSB).

Susulan itu, ujian swab telah dilakukan terhadap 596 pekerjanya dan proses mengenal pasti kontak rapat serta kuarantin sudah dilakukan bagi mencegah penularan lanjut

"PLSB sudah melaksanakan garis panduan pencegahan termasuk penjarakan fizikal dan langkah keselamatan lain, menyediakan penginapan berasingan bagi pekerja yang tidak dijangkiti dan menjalankan proses disinfeksi serta sanitasi di permukaan yang sering disentuh.

"Pada masa sama, sebagai langkah keselamtan susulan PLSB akan menutup operasi produksi bermula Isnin 21 Disember hingga Ahad, 27 Disember 2020.

"Setakat 21 Disember 2020, kesemua hasil saringan ujian swab mendapati 246 kes positif. Mereka yang dijangkiti akan menerima penjagaan kesihatan manakala kontak rapat akan melalui proses kuarantin dan akan menjalani ujian saringan susulan. Dalam pada itu, tiada kes positif direkodkan dalam kalangan pekerja di pejabat berasingan," katanya.

Jelasnya lagi, kos ujian swab, kuarantin dan proses disinfeksi dijangka berjumlah lebih RM500,000.

Manakala impak daripada penutupan operasi pengeluaran selama tujuh hari dijangka terhad kepada kurang daripada lima peratus daripada pendapatan tahun kewangan 2021 kumpulan.