SEPANG: Sebanyak 250 kes kematian akibat COVID-19 telah direkodkan di daerah Sepang dari 16 hingga 24 September yang lalu.

Menurut  Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain ,daripada jumlah itu, kawasan Dengkil mencatatkan sebanyak 170 kematian sekali gus menjadi lokasi tertinggi merekodkan jumlah mangsa COVID-19 di daerah tersebut untuk tempoh itu.

Tambahnya lagi, jumlah kumulatif kes COVID-19 di daerah Sepang yang direkodkan sehingga kini pula adalah sebanyak 36,925 kes.

"Saya harap mereka yang datang dari luar Sepang ini perlu berhati-hati, kerana kita tidak pasti virus itu berada di mana dan kita harap melalui penjagaan SOP yang ada ini maka kita dapat elakkan penularan COVID-19," katanya selepas melakukan tinjauan di Pantai Bagan Lalang di sini pada Sabtu.

Di samping itu, Abd Hamid berkata, pihaknya juga telah meningkatkan kapasiti pengawasan bagi pengoperasian di Pantai Bagan Lalang dengan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pertama sekali, kita menyediakan tambahan pekerja untuk membersihkan pantai dan meminta pihak yang menguruskan sampah untuk kapasiti dan pengutipan sampah bagi memastikan kawasan ini sentiasa dalam keadaan bersih dan teratur. Malahan, kita juga turut menjalankan kerja-kerja pembersihan pantai," katanya.

Dalam masa sama, Abd Hamid berharap orang ramai dapat melaksanakan pematuhan kendiri tanpa menunggu penguatkuasaan pihak berkuasa dalam usaha menangani penularan COVID-19.