KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sejumlah 301 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 23,744 kes, iaitu 1.12 peratus daripada 2,107,433 kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Data KKM di portal COVIDNOW memaklumkan, sejumlah 92 daripada 301 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Bagaimanapun, jumlah kematian yang dilaporkan itu turut merangkumi sejumlah kes tertunggak dengan ada antaranya yang meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Tunggakan kes itu berlaku kerana proses bagi mengesahkan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat wabak itu, memakan masa.

Portal Github menunjukkan hanya lapan kes kematian dilaporkan berlaku semalam, namun angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang masih belum dikemas kini.

Berdasarkan purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, trend kematian pesakit COVID-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksin serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam, sejumlah 56.5 peratus daripada keseluruhan populasi negara sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19, dan 67.4 peratus pula mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Daripada 301 kes kematian yang dilaporkan semalam, 130 daripadanya adalah di Selangor, disusuli Johor (52), Kelantan (23), Pulau Pinang (22), Sabah (19), Perak (15), Kuala Lumpur (13), Sarawak (8), Kedah (6), Pahang (4) Melaka (3), Negeri Sembilan dan Perlis masing-masing satu.

Labuan dan Putrajaya tidak merekodkan sebarang kes kematian.