KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan pertambahan 303 kes positif COVID-19 dengan Serian menyumbang angka tertinggi dengan 101 kes menjadikan jumlah kes di negeri itu meningkat kepada 13,413 kes.

Ia diikuti Bintulu (57), Sibu (47), Miri (27), Meradong (13), Kapit (10), Julau (sembilan), Kuching dan Sarikei (lapan), Sri Aman (enam), Tanjung Manis (lima), Bukit Mabong (empat), Sebauh (dua) dan satu kes masing-masing di Bau, Belaga, Kanowit, Samarahan, Selangau dan Subis.

Menurut pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Khamis, dua lagi kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif meningkat kepada 34.

Ia melibatkan Kluster Depot Imigresen Semuja di Serian dan Kluster Sungai Atap di Meradong.

“Kluster Depot Imigresen dikesan apabila pihak Jabatan Kesihatan Bahagian Serian membuat saringan ke atas semua anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan tahanan di depot itu.

“Saringan dijalankan selepas mendapat maklumat bahawa terdapat individu dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di depot itu disahkan positif COVID-19.

“Setakat ini 584 individu disaring dengan 99 tahanan disahkan positif, 185 negatif manakala 300 masih menunggu keputusan ujian makmal,” kata Uggah.

Sementara Kluster Sungai Atap di Meradong melibatkan sebuah rumah panjang di Sungai Atap, Ulu Strass di Meradong.

Kluster ini merupakan kluster komuniti yang melibatkan perjalanan rentas daerah di mana punca jangkitan adalah dari daerah Sibu.

“Kes indeks kluster ini merupakan kes 10,693 yang dikesan menerusi saringan di Klinik Kesihatan Lanang, Sibu pada 3 Mac 2021 dan disahkan positif dua hari selepas itu.

“Menerusi pengesanan kontak rapat, 148 individu disaring dengan 18 kes positif, 125 negatif dan empat lagi masih menunggu keputusan ujian makmal,” tambahnya.

Antara lain, satu kematian dilaporkan di Hospital Sibu melibatkan kes 8,033 berusia 58 tahun yang disahkan positif COVID-19 pada 21 Februari 2021.

Kes kematian ke-95 ini dilaporkan meninggal dunia pada 17 Mac 2021.