KUALA LUMPUR: Sejumlah 4,782 jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, pertambahan kes baharu itu menjadikan 2,436,498 kes kumulatif direkodkan ketika ini.

Ia merupakan penurunan hampir 1,000 kes yang dilaporkan semalam, iaitu 5,666 kes. 

"Daripada 4,782 kes harian yang dilaporkan pada hari ini 96 kes (2.0 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 dan 4,686 kes (98.0 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa 7,414 kes dilaporkan sembuh hari ini dengan kumulatif sembuh ketika ini adalah 2,334,783 kes.

Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah 607 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 300 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa sejumlah enam kluster baharu dikesan hari ini dengan kluster yang masih aktif adalah 528 kluster.