KUALA LUMPUR: Kes COVID-19 di Malaysia merekodkan angka di bawah 5,000 kes buat tiga hari berturut-turut selepas mencatatkan 4,879 kes dalam tempoh 24 jam lepas.

Begitupun, jumlah kes pada Selasa dilihat meningkat hampir 800 kes berbanding 4,087 pada Isnin sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia kini adalah sebanyak 2,632,782 kes.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan berkata, jumlah kes pulih pada Selasa adalah 5,168 kes.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di Malaysia kini adalah 2,537,204 kes atau 96.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 509 kes dengan 394 kes disahkan COVID-19, 115 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

“Manakala, kes yang memerlukan bantuan pernafasan berjumlah 252 kes dengan 172 kes disahkan COVID-19, 80 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Tambah beliau, daripada 4,879 kes harian yang dilaporkan pada Selasa, 79 kes atau 1.6 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5.

“Manakala 4,800 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” ujarnya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 61 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 30,370 orang daripada 2,622,024 kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 15 daripada 61 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).