Sebanyak 41 kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikannya kes tertinggi dalam tempoh 24 jam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kesemua kes baharu itu adalah dari kluster jemaah tabligh Masjid Sri Petaling.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, kesemua kes baharu berkenaan adalah dalam kalangan patient under investigation (PUI) sebanyak 37 kes, dan kontak rapat COVID-19 sebanyak empat kes. .

“Dengan pertambahan 41 kes baharu ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 238 kes,” katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, Dr Noor Hisham berkata, 203 kes masih dirawat di wad dengan lima daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan memerlukan bantuan pernafasan, selain diberikan rawatan anti-viral.

“Sehingga 14 Mac 2020, sebanyak 1,321 sampel dari pesakit influenzalike-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) telah diuji di IMR (Institut Penyelidikan Perubatan), semua makmal kesihatan awam dan hospital. Setakat ini tiga sampel positif jangkitan COVID-19. Kesemua kes positif ini berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, dua kes (kes ke-35 dan kes ke-61) yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini, telah pulih dan dibenarkan discaj dari wad Hospital Sungai Buloh.

“Ini menjadikan 35 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari COVID-19 dan telah discaj dari wad,” katanya lagi.