KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 45 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan keseluruhan kematian disebabkan wabak itu berjumlah 29,937, daripada 2.57 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, tujuh daripada 45 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 68,637 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 54,174 individu atau 78.9 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 8,268 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 5,653 kes dirawat di hospital dan 542 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 274 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 268 lagi memerlukan mesin ventilator.