Volvo bakal umum SUV elektrik EX60 dengan jarak perjalanan mencapai 810km

Volvo EX60 turut menggunakan senibina pengecasan 800V membolehkan pengecasan sejauh 340km dilakukan dalam masa 10 minit menggunakan pengecas berkelajuan 400 kW. - Foto Amanz
BERMULANYA tahun 2026 menyaksikan perkembangan ketara kereta elektrik di mana kita bukan sahaja boleh melihat model-model baharu diperkenalkan, bahkan lebih dari itu adalah teknologi berkaitan kenderaan elektrik yang lebih ditambah baik.
Volvo bakal mengambil pentas sedunia dalam mengumumkan Volvo EX60 yang mempunyai jarak perjalanan sejauh 810KM pada 21 Januari ini.
Volvo EX60 merupakan SUV elektrik yang akan hadir dalam pacuan semua roda, yang juga akan meletakkannya dalam saiz dan penawaran di antara keluarga SUV yang lain iaitu EX30 dan EX90.
Ia dibina dengan senibina terkini SPA3, yang menggunakan teknologi cell-to-body dalam pembuatan cesi kereta elektrik ini yang menempatkan bateri terus kedalamnya.
Selain dari itu Volvo EX60 turut menggunakan senibina pengecasan 800V membolehkan pengecasan sejauh 340km dilakukan dalam masa 10 minit menggunakan pengecas berkelajuan 400 kW.
Ini bermaksud pemilik tidak memerlukan masa yang lama untuk menunggu kenderaan ini dicaj penuh, dan dengan jarak 810KM, secara teorinya pengguna boleh memandu dari Perlis ke Johor dengan mudah.
Volvo EX60 ini akan membuat kemunculan sulung pada 21 Januari 2026 menerusi halaman YouTube mereka dan buat masa ini tiada lagi sebarang maklumat untuk pasaran Malaysia.
Namun dengan sambutan penjualan kereta elektrik yang mendadak pada tahun lalu, mungkin kita dapat melihat penawaran model ini pada tahun ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


