Lima puluh murid kelas program Pendidikan Khas Inklusif (PPKI), Sekolah Kebangsaan (SK) Petra Jaya diarah menjalani kuarantin di rumah selama dua hari bermula Khamis.

Ia sebagai langkah awal pencegahan Koronavirus baharu atau COVID-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Azhar Ahmad berkata arahan kuarantin itu dikeluarkan apabila ahli keluarga salah seorang murid kelas tersebut demam selepas pulang dari Singapura.

Tempoh kuarantin itu juga bergantung dengan nasihat Jabatan Kesihatan dan situasi semasa.

Namun ujarnya, tiada keperluan untuk jalankan kuarantin untuk seluruh warga sekolah tersebut.

“Murid-murid program Pendidikan Khas Inklusif dia tidak bercampur dengan pelajar-pelajar lain jadi kita telah buat keputusan supaya yang diasingkan ini pelajar PPKI sahaja buat masa ini,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Susulan perkara ini, Dr Azhar turut meminta pihak sekolah dan ibu bapa untuk sentiasa memantau kesihatan anak-anak dan semua murid.