KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 53 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 29,729, daripada 2.54 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 11 daripada 53 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 65,956 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 51,619 individu atau 78.3 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 8,035 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 5,776 kes dirawat di hospital dan 526 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 276 pesakit tidak memerlukan bantuan pernafasan dan 250 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.