KUALA LUMPUR: Keadaan semasa negara terutama kes penularan COVID-19 menjadi agenda utama majlis menghadap pemimpin parti-parti politik negara ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Ini sekali gus menamatkan spekulasi sesetengah pihak berhubung pertemuan itu yang dikatakan bagi membincangkan tentang landskap politik semasa negara.

Pemimpin parti-parti politik termasuk pembangkang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berperingkat bermula hari ini, dan bagi pemimpin parti-parti politik di Sarawak, majlis menghadap diadakan secara dalam talian yang dijadualkan pada 14 Jun.

Majlis menghadap bermula dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selama sejam mulai 8 pagi bagi mesyuarat Pra-Kabinet yang kebiasaannya diadakan pada setiap Rabu, bagi menyembah maklum perkembangan pentadbiran negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipanggil menghadap hari ini dilihat memasuki Istana Negara pada 10.40 pagi dan beredar sejam kemudian.

Ketika ditemui pemberita, Presiden PKR itu menyatakan sesi menghadap berkenaan berkisar kepada perbincangan mengenai isu COVID-19, persidangan Parlimen, darurat serta kedudukan ekonomi negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menjadi pemimpin pembangkang kedua tiba di Istana Negara kira-kira 2 petang, disusuli Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang tiba sejam kemudian.

Al-Sultan Abdullah dijadualkan menerima menghadap pemimpin parti politik lain pada esok dan Jumaat.

Antara yang dipanggil menghadap Seri Paduka pada esok ialah Pengerusi Pro-tem parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal manakala sesi menghadap bagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ialah pada Jumaat.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak pula memaklumkan semua presiden parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada empat parti politik tempatan iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menerima jemputan menghadap Al-Sultan Abdullah menerusi persidangan video pada 11 pagi, 14 Jun.

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Istana Negara akan mengadakan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada Rabu (16 Jun) berkaitan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

Darurat diisytiharkan untuk seluruh negara pada 12 Jan dan berkuat kuasa hingga 1 Ogos dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 633,891 kes dengan 6,239 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Dalam pada itu, 2,609,377 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara ini ialah sebanyak 3,790,121 dos setakat semalam. - BERNAMA