KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) hari ini bersetuju menyumbangkan 30 peratus daripada gaji bulanan mereka ke dalam Akaun Amanah Bencana COVID-19 bagi tempoh tiga bulan.

Pengerusi PNBBC, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keputusan itu dibuat atas rasa keprihatinan dan tanda sokongan bagi membantu rakyat yang berada dalam kesusahan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19.

"Menjadi harapan kami agar sumbangan yang sedikit ini dapat membantu dan meringankan bebanan kewangan mereka yang memerlukan dan meneruskan usaha-usaha untuk menentang COVID-19. Perkhidmatan kami kepada rakyat berterusan di Parlimen dan negara," kata Ahli Parlimen Arau itu kepada Bernama.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua menteri serta timbalan menteri tidak akan mengambil gaji mereka selama tiga bulan mulai Jun, yang akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali turut mengumumkan lebih 800,000 penjawat awam bersolidariti dalam mendepani pandemik COVID-19 melalui pengurangan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) serta Imbuhan Tetap Keraian (ITK) selama tiga bulan berdasarkan gred perkhidmatan. - BERNAMA