GEORGE TOWN: Semua aktiviti keagamaan masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang termasuk solat Jumaat bagi kawasan yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah dibenarkan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd Zakuan Zakaria berkata, satu garis panduan telah dikeluarkan dan ia berkuat kuasa bermula Isnin (10 Mei) sehingga arahan baharu dikeluarkan.

Menurutnya, bagi solat Jumaat untuk kawasan PKP, kadar bilangan jemaah yang ditetapkan adalah mengikut keluasan ruang solat utama masjid atau surau Jumaat sahaja dengan mengambil kira penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

"Selain itu, tidak kurang daripada 40 orang jemaah yang memenuhi syarat wajib solat Jumaat termasuk jawatankuasa kariah, pegawai dan siak sahaja dibenarkan.

"Bagi kawasan yang dikenakan PKPB pula, kadar bilangan jemaah adalah mengikut keluasan ruang solat utama dan ruang yang bersesuaian di dalam kawasan masjid atau surau Jumaat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Jemaah hendaklah berstatus warganegara Malaysia dan pemastautin tetap sahaja yang terdiri daripada jawatankuasa kariah, pegawai, siak dan ahli kariah.

"Ahli kariah perlu berusia antara 15 hingga 70 tahun dan sihat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, bagi kawasan PKP, mekanisme pemilihan jemaah akan ditentukan oleh jawatankuasa kariah masjid atau surau Jumaat dengan mengambil kira lokaliti setempat dan penggiliran dalam kariah tersebut.

"Bagi masjid atau surau Jumaat yang mempunyai keluasan ruang solat utama yang terhad (setelah mengambil kira keperluan mematuhi penjarakan fizikal), ruang tambahan yang bersesuaian bagi melengkapkan 40 jemaah adalah dibenarkan.

"Sementara itu, pembesar suara luar hanya digunakan untuk azan dan iqamah sahaja manakala bagi aktiviti khutbah dan solat Jumaat, penggunaan pembesar suara di dalam sahaja dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, imam dan khatib yang dilantik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sahaja dibenarkan untuk solat dan menyampaikan khutbah Jumaat.

"Imam dan khatib jemputan tidak dibenarkan selain khutbah Jumaat perlu diringkaskan yang mana, hanya menggunakan teks khutbah yang disediakan JHEAIPP.

"Imam perlu membaca surah pendek ketika solat serta meringkaskan zikir dan doa dengan kadar tempoh keseluruhan solat adalah 10 minit," katanya.

Mohd Zakuan berkata, selain solat Jumaat, solat fardhu berjemaah, solat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri juga dibenarkan dengan kadar bilangan jemaah mengikut keluasan ruang solat utama di masjid atau surau bagi kawasan PKP dan PKPB.

"Kadar tempoh untuk solat fardhu diperuntukkan hanya 20 minit. Sementara itu, semua aktiviti sosial dan majlis ilmu tidak dibenarkan di kawasan PKP.

"Sama juga untuk kawasan PKPB namun kuliah serta bacaan Yasin selepas solat Maghrib sehingga masuk waktu Isyak dan kuliah Subuh pada hari Sabtu dan Ahad dibenarkan dengan pematuhan SOP," katanya.

Jelasnya, solat jenazah juga dibenarkan manakala untuk urusan pengkebumian, hanya 20 orang sahaja dibenarkan.

"Bagaimanapun, bagi kawasan PKP, aktiviti ziarah kubur tidak digalakkan namun bagi PKPB dibenarkan dengan syarat tidak melebihi enam orang bagi satu petak kubur serta tidak lebih daripada 30 minit.

"Selain itu, pihak masjid dan surau juga perlu menyediakan ruang solat musafir khusus yang bertanda di kawasan balai lintang atau di ruang tertentu untuk kemudahan pekerja e-hailing seperti Food Panda, Grab Food dan lain-lain di kawasan PKP.

"Mereka yang dikategorikan sebagai musafir perlu membawa sendiri sejadah bersaiz besar dan telekung.

"Penggunaan ruang solat musafir hanya dibuka selama 1 jam selepas masuk waktu solat fardhu," katanya.

Mengulas mengenai takbir raya, Mohd Zakuan berkata, ia dibenarkan dengan menggunakan pembesar suara luar iaitu bermula solat Maghrib malam terakhir Ramadan.

"Amalan takbir dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan. Imam perlu membaca surah atau ayat yang pendek ketika solat kerana hanya 45 minit sahaja diperuntukkan termasuk takbir, solat, khutbah dan doa.

"Jamuan selepas solat sunat Hari Raya dan penganjuran sebarang majlis atau rumah terbuka tidak dibenarkan.

"Bagaimanapun, jamuan makanan yang diedarkan secara bungkus dibenarkan," katanya.

Artikel asal di Sinar Harian: Aktiviti keagamaan, solat sunat Aidfitri dibenar di Pulau Pinang