KUALA LUMPUR: Sarawak hari ini melaporkan 195 kes pulih baharu menjadikan jumlah itu meningkat kepada 5,774 atau 72.69 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu.

87 kes dilaporkan di Hospital Sibu diikuti Hospital Miri (57), Hospital Sarikei (20), Hospital Umum Sarawak (15), PKRC di Hospital Kapit (14) satu kes masing-masing di Hospital Bintulu dan Hospital Limbang.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, 185 kes positif baharu dicatatkan dengan Sibu kekal merekodkan kes tertinggi dengan 82.

Ia diikuti Kuching (29), Kapit (20), Sri Aman (11), Bukit Mabong (10), Bau dan Bintulu (enam), Song (lima), Samarahan dan Miri (empat), Kanowit (tiga) manakala satu kes di Serian, Sebauh, Julau, Sarikei dan Belaga.

Selain itu, 24 kluster dilaporkan kekal aktif dengan lapan kluster melaporkan pertambahan kes positif.

“Kluster Gelong di Kapit merekodkan kes tertinggi dengan 19 kes positif menjadikan jumlah kes meningkat kepada 83 dengan 130 individu telah disaring dan 47 disahkan negatif.

“Manakala Kluster Pasai di Sibu mencatatkan lima kes positif menjadikan jumlah keseluruhan kes kluster ini meningkat kepada 2,640,” kata kenyataan itu.

Antara lain, daerah Sarikei kembali dikategorikan sebagai zon hijau selepas hanya melaporkan pertambahan satu kes positif dalam tempoh 14 hari lepas.

Ini menjadikan jumlah zon hijau di negeri itu kepada 13 daerah termasuk Tanjung Manis, Limbang dan Lawas.